Idul Adha


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untuk Allah Yang Maha Esa kerana atas limpah kurnia dan kasih sayang~Nya serta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya hingga ke hari kiamat.

Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban, maka eloklah kita peringatkan kembali ilmu yang pernah kita pelajari iaitu Takbir Hari Raya. Takbir Hari raya terbahagi kepada dua jenis iaitu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad. Takbir adalah sunat pada kedua-dua hari raya dan jika tidak dilakukan amatlah rugi kerana ianya merupakan syiar Islam dan melahirkan rasa syukur kita Allah SWT. Firman Allah: “Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk~Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [QS Al-Baqarah : 185]

Rasulullah s.a.w. menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” [Hadis riwayat al-Thabrani]

Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam. Kita disunatkan bertakbir bermula dari terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga Imam memberi salam pada solat sunat Hari Raya Fitri. Begitulah juga halnya pada hari raya korban, bertakbir disunatkan selepas selesai melaksanakan solat maghrib sehingga khatib selesai membaca khutbah pada pagi hari raya korban.

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, bertakbir, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. [Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.]

Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat-solat fardu atau sunnah, baik adaan mahupun qadhaan, solat jenazah dan solat yang dinazarkan. Bagi kita yang tidak mengerjakan haji takbir boleh dilaungkan bermula selepas azan subuh Hari Arafah 9 Zulhijjah dan berakhir pada 13 Zulhijjah (hari Tasyrik) selepas solat asar, sementara orang sedang mengerjakan haji bertakbir sejak Zohor Hari Raya Haji hingga Subuh akhir hari-hari Tasyrik. Imam Ramli dan Imam Hajar berselisih pendapat tentang permulaan takbir bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Imam Ramli mengatakan takbir boleh dimulakan selesai kita solat sunat subuh, sementara Imam Hajar mengatakan takbir dimulakan selepas daripada kita menunaikan fardhu solat subuh. Apapun kedua-dua pendapat mereka boleh digunakan.

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

Kepentingan Takbir

1. Satu syiar bagi menzahirkan rasa gembira dan tanda bersyukur kepada Allah.
2. Tanda kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadan.
3. Lambang penyatuan dan kekuatan ummah melalui roh takbir, kerana umat Islam, membesarkan Allah dan melaungkan takbir yang sama di seluruh dunia.
4. Laungan takbir menyejukkan jiwa, menenangkan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan.
5. Takbir dan tahmid dianggap penyubur ukhuwah dalam mengukuhkan ikatan jalinan persaudaraan umat Islam.

Disunnahkan juga bertakbir ketika melihat haiwan ternak seperti unta, lembu dan biri-biri dalam hari-hari tertentu, iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah berdasarkan firman Allah SWT : “Serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan~Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)…[QS al-Hajj 22:28]

Sekian, moga Allah anugerahkan kita semua kesempatan, dapat menyambut Hari Raya Korban nanti dengan penuh rasa syukur dan tawaduk, serta memperbanyakkan amalan soleh dalam bulan Zulhijjah nanti. Moga Allah tambahkan iman dan taqwa kita dan matikan kita dalam beriman kepada~Nya.

http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A588102&xgs=1&xg_source=msg_share_topic

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s