KETETAPAN ALLAH KEATAS KITA

Ketetapan Allah ke atas kita bukan sia-sia.
• Posted by Pencacai Dhoif on August 17, 2010 at 3:34pm in Kisah & Tauladan

Permulaan semester ketiga 1998/1999 sudah mula buat aku bosan untuk meneruskan pengajian dalam bidang komunikasi antarabangsa (intern-comm). Namun, aku yang juga antara pelajar popular di kampus menjadikan aku sedikit bersemangat. Hari pertama semester, aku berjumpa kembali dengan rakan-rakan rock band selepas bercuti panjang selama 3 bulan dan merancang untuk mengadakan persembahan terhebat pada semester itu.

Selesai bertemu rakan-rakan band, aku kembali ke bilik kolej asrama dan membuat aku terkejut kerana pihak kolej asrama menempatkan aku tinggal sebilik dengan seorang pelajar dari Sabah yang beragama Kristian. Aku gugup, takut kalau-kalau dimasukkan ‘holy-water’ dalam minuman, itulah tanggapan pertama aku kepada teman sebilik. Aku perkenalkan bekas teman sebilik aku itu kepada pembaca semua sebagai Rodi (bukan nama sebenar).

Ketika semester 3, aku jarang bersolat sebab belum berdisiplin menjaga solat. Kemudian pada satu malam sebelum tidur, aku berasa berkerut dahi apabila ditegur Rodi: “Berapa kali kamu sembahyang dalam satu hari?”

Aku jawab: “Lima” Rodi balas: “Berapa kali kamu buat (solat)?”

Aku jawab: “Kadang-kadang lima, kadang-kadang tak sempat buat tiga atau empat saja.”

Rodi tanya lagi: “Bolehkah macam tu? Kamu sembahyang kepada siapa?”
Aku balas: “Sebenarnya kena cukupkan lima. Sembahyang kepada Allah.”

Kemudian Rodi tanya satu soalan yang sangat mantap, a million dollar question.
“Allah itu apa, siapa?”
Aku balas: “Allah itu Tuhan orang Islam, Tuhan yang satu bagi orang Islam.”
Rodi balas: “Allah juga tuhan kami, Allah kami juga satu tapi menyayangi manusia dan menjadi manusia.”
Aku balas: “Agama kamu lain, tak sama dengan agama kami. Kami percaya Allah itu satu, Dia tak pernah jadi manusia,”
Rodi balas: “Tak apalah, tidur dulu. Ini kali pertama saya duduk sebumbung dengan orang Islam, tak salah kan saya tanya? Janganlah marah.”

Kemudian aku lihat Rodi membaca ‘doa’ tidur mengikut kepercayaannya dan membuat isyarat membentuk salib dengan menyentuh dahi, dada kanan dan dada kiri sebelum berbaring untuk tidur.

Aku pula, masih terkejut dengan keberanian Rodi membuat pertanyaan seperti itu. Aku masih mentah ketika itu, tapi Rodi tidak sementah aku.

Hari-hari berikutnya, aku dan Rodi kerap berbual mengenai akidah maisng-masing sehingga membuatkan aku semakin tidak selesa. Aku tidak menceritakan perkara itu kepada rakan-rakan lain, aku pendamkan saja. Jika aku ceritakan kepada rakan-rakan, mungkin akan jadi perbalahan dan mencemarkan nama orang Islam sendiri di mata Rodi. Atau kalau aku ceritakan kepada pihak kolej asrama dan meminta aku dipindahkan ke bilik lain, mungkin Rodi akan fikir aku tidak mampu menghadapi perbincangan dengannya.

Aku nekad, aku akan menghadapi Rodi sendirian setiap kali membahaskan perihal akidah di bilik. Aku kemudian menemui pensyarah bahasa Arab (saya pernah bercerita sedikit mengenai pensyarah ini dalam artikel Mereka Mempertikai Baris-baris) dan seorang pensyarah Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk mendapat nasihat. Aku beritahu kepada kedua-dua pensyarah itu mengenai situasi aku dan mengapa aku tidak mahu berpindah ke bilik lain. Mereka memahami aku dan sedia memberi nasihat. Melalui pensyarah Melayu itu jugalah aku berkenalan dengan seorang pelajar perempuan yang menjadi isteri aku sekarang (nostalgia.. J )

Pensyarah-pensyarah aku kemudian mencadangkan aku supaya membaca buku-buku tulisan Sheikh Ahmed Deedat (allahyarham), Maurice Bucaille, Edward de Bono, serta meneliti teks-teks al-Quran dan beberapa versi Bible (Terjemahan Melayu, KJV, RKJV, NAV) bagi mempersiapkan diri. Mujur juga aku sudah mengambil kertas kursus teras ‘Pemikiran Agama’ ketika semester dua dan ia menjadi salah satu kemahiran asas untuk mengupas konsep pemikiran al-Quran dan Bible. Baru aku sedar, tidak sia-sia aku mengambil kertas ‘Pemikiran Agama’ lebih awal daripada jadual. Aku sepatutnya mengambil kursus itu pada semester lima, tetapi aku mengambilnya pada semester dua. Rupa-rupanya, ada ‘ujian khas’ pada semester tiga.

Disebabkan Rodi, jadual aku untuk belajar sedikit terganggu. Selepas selesai habis kuliah setiap hari, aku terus ke perpustakaan untuk ‘khatam’ buku-buku Ahmed Deedat, Maurice Bucaille, Edward de Bono dan versi-versi Bible selama berjam-jam setiap hari. Buku pelajaran pula, aku hanya jenguk sikit-sikit saja. Manakala jadual berlatih bersama band pula jadi lintang pukang.

Aku berserabut ketika itu. Kemudian, aku teringat kata-kata pensyarah bahasa Arab: “Jangan lupa kepada Allah kerana Allah akan melupakan kamu jika kamu melupakan Allah. Ingatlah kepada Allah kerana Allah juga akan ingat kepada kamu.”

Teringat dengan nasihat itu, aku segera bersolat dan berdoa panjang di surau perpustakaan. Hati menjadi tenang, tidak lagi tegang. Akal mula ligat menemui point-point bagi setiap pertanyaan yang Rodi akan tanya kepada aku. Aku juga mula sedar, hanya Allah tempat kita berserah dan hanya Allah tempat kita mengadu. Aku mengaku kepada semua pembaca, aku tidak terus berubah 100 peratus ketika itu, yang berubah hanya disiplin dalam menjaga solat. Ketika itu, aku masih aktif bermain muzik, masih aktif dengan keseronokan hidup, solat tidak mengubah aku 100 peratus ketika itu walaupun aku sudah cukup mengerjakan lima waktu setiap hari.

Bermula detik itu, aku sudah mula yakin untuk berhadapan dengan Rodi. Setiap pertanyaan, aku dapat jawab dengan sempurna berbekalkan kemahiran yang ‘dipelajari’ daripada Ahmed Deedat. Bukti-bukti kebenaran teks-teks al-Quran dapat dijelaskan dengan lancar, kenyataan-kenyataan Maurice Bucaile dari kaca mata sejarah dan sains moden mengenai ketulenan al-Quran juga semakin senang diterjemahkan kepada Rodi. Malah, perbincangan mengenai agama masing-masing juga bertukar menjadi kebiasaan ketika berada di bilik kolej asrama. Alhamdulillah, Allah tetap memberi pertolongan-Nya kepada aku selaku hamba yang masih banyak kekurangan.

Perihal membezakan Muhammad dengan Jesus kerap menjadi bahan perbincangan. Begitu juga membezakan Musa-Jesus-Muhammad juga diperbincangkan. Muhammad rasul seperti Jesus dan Musa, tetapi Muhammad tidak seperti Isa dalam tanggapan sebagai tuhan, tetapi Muhammad seperti Musa (beribu dan berbapa di kalangan manusia), tetapi Muhammad tidak seperti Musa dan Isa dari segi syariat kepada seluruh umat manusia. Musa juga seperti Isa dalam mengajarkan akidah tauhid kepada kaum mereka. Tetapi Musa tidak seperti Isa kerana Musa ada bapa dari kalangan manusia, Isa pula tiada bapa tetapi Allah bukan bapanya. Muhammad pula seperti Isa dalam menjalankan perintah Allah, tetapi Muhammad tidak seperti Isa kerana Muhammad ada bapa dan Muhammad tidak dianggap sebagai anak Allah oleh kaumnya. Kami membahaskan kitab Deutronomy dalam teks Bible mengenai kerasulan Isa sebagai anak manusia, mujur Ahmed Deedat ada menulisnya dan aku sempat membaca. Semua itu berlegar menjadi perbualan harian termasuk ketika waktu menjamah mee segera di bilik kolej kerana Rodi keliru dengan tanggapan umat Islam terhadap Muhammad yang dia samakan seperti dia mengenali Jesus mengikut kepercayaannya. Itu belum lagi masuk membahaskan bab triniti, kredibiliti perawi hadis, kredibiliti penulis Bible, kredibiliti ulama, kredibiliti paderi, kredibiliti pengumpul teks al-Quran, kredibiliti pengasas mazhab sunnah, kredibiliti pengasas mazhab-mazhab Kristian, semua itu sangat berat untuk dibincangkan kerana pada masa itu masih cetek ilmu. Sungguh mencabar iman. Aku bukan mahasiswa jurusan agama, aku hanya mahasiswa jurusan komunikasi, aku cetek ilmu agama.

Kemudian, aku bertanya kepada Rodi mengenai tujuannya bertanya aku mengenai semua itu yang berlarutan selama berminggu-minggu sepanjang semester itu. Rodi kata, dia hanya mahu meengambil peluang untuk memahami satu agama (Islam) yang pernah berperang dengan agamanya (Kristian) pada satu masa dulu (Perang Salib). Peluang itu diambil kerana kebetulan dia tinggal sebilik dengan seorang Islam iaitu aku.

Mendengar penjelasan itu, aku bertanya kepada Rodi mengenai ‘holy-water’ yang hangat diperkatakan oleh mulut orang Melayu Islam di sana sini. Aku minta Rodi jawab dengan jujur kerana aku telah jujur menghadapinya selama berminggu-minggu. Rodi menjelaskan, dia juga sedia maklum mengenai perkara itu. Biasalah, itu hanya ‘soalan bodoh’ bagi orang seperti aku pada ketika itu kerana itulah kebimbangan aku sejak hari pertama aku tinggal sebilik dengan Rodi.

“Holy-water itu sebenarnya jadi rahsia gereja, saya sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya bahan holy-water itu. Tapi apa yang saya tahu, ia hanya untuk orang Kristus (Kristian) yang selesai dibaptis. Kalau orang bukan Kristus meminumnya, orang itu juga secara tak langsung akan jadi orang Kristus secara roh-nya walaupun dia belum secara sah menjadi orang Kristus.” kata Rodi, sekadar yang aku ingat-ingat lupa.

Walaupun tidak mendapat jawapan konkrit seperti diharapkan, tapi aku puas kerana ia tetap satu jawapan yang menyokong ramalan. Tamat semester tiga, aku sudah tidak lagi ditempatkan sebilik oleh pihak kolej asrama kerana pihak pentadbiran baru ‘sedar’ kesilapan mereka menempatkan aku dengan Rodi kerana nama penuh Rodi memang mirip nama seperti orang Melayu Islam.

Masuk semester keempat, Rodi semakin akrab dengan aku walaupun sudah tidak lagi tinggal sebilik. Pernah juga dia menumpangkan aku ke masjid untuk solat Jumaat menaiki motosikal yang baru dibelinya.

Sesudah tamat pengajian pada tahun 2000, aku menyimpan nombor telefonnya dan memberikan nombor telefon aku. Tapi nombor telefon itu tidak kekal dalam simpanan dan hilang. Aku kemudian diterima bekerja dengan majikan aku sekarang.

Pada 2008 iaitu 10 tahun selepas perkenalan aku dengan Rodi, dia secara tiba-tiba menghantar email kepada aku selepas kerap terpandang nama dan alamat email aku setiap kali membaca akhbar. Kami kerap berutus khabar. Kami saling menghormati. Tapi, aku sentiasa berdoa semoga Rodi didekatkan kepada hidayah.

Berita Rodi benar-benar menggembirakan, dia memberitahu aku bahawa dia sebenarnya telah memeluk Islam selepas dua tahun menamatkan pengajian dan berterima kasih kepada aku kerana sudi ‘memperkenalkan’ agama Allah kepadanya. Dia kini percaya dengan sinaran iman bahawa Isa al-Masih hanya seorang rasul Utusan-Nya, Isa anak Maryam, anak manusia, bukan anak Allah.

Aku hanya mampu mengucapkan syukur. Setiap ketetapan-Nya selalu sahaja ada hikmah. DIA mengaturkan segala-galanya bukan untuk sia-sia. Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Perancang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, segala puji-pujian yang indah-indah hanya dipanjatkan kepada-Nya YANG SANGAT INDAH.

Kita kerap meminta itu dan ini setiap kali berdoa kepada Allah, sesungguhnya hanya kepada Allah kita meminta-minta dan hanya Allah yang memberi segala nikmat. Malah, ada juga manusia-manusia bongkak yang tidak mahu langsung meminta-minta kepada Allah. Bagi manusia-manusia bongkak ini, mereka fikir segala yang mereka nikmati itu adalah hasil usaha mereka sendiri dan tidak ada kaitan dengan Allah.

Ada juga manusia yang hanya meminta-minta kepada Allah apabila ditimpa kesusahan, tapi mujur orang itu masih ingat kepada Allah. Itu tanda Allah masih sayang kepada hamba-Nya, lalu hamba itu diuji dengan kesusahan.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Quran, al-Baqarah: 186)


Berdoalah kita untuk kesejahteraan semua umat Islam. Jangan hanya berdoa untuk diri sendiri, berdoalah untuk kebaikan semua saudara seagama dengan kita. Doakan semoga semua sejahtera, doakan supaya setiap daripada kita mendapat kasih dan sayang-Nya, doakan supaya semua umat Islam berada dalam keadaan sejahtera dan berlapang dada, Doakan semoga saudara-saudara kita segera bangkit dari lena. Doakan yang baik-baik untuk kebaikan semua.

Semoga doa yang dipanjatkan itu akan dimakbulkan-Nya. Semoga doa kita juga menjadi bakti kepada agama. Mulakan dengan niat Lilla-hi-ta’ala.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s